Monday, October 29, 2007

Utara: JPS pantau fenomena air pasang besar Selat Melaka

Oleh Abu Bakar Al Sidek

Benteng penahan air Jalan Tokong, Jalan Pasar dan Taman Rekreasi Jalan Maharajalela roboh punca banjir

TELUK INTAN: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak sedang memantau fenomena air pasang besar di Selat Melaka yang melanda pesisiran pantai Barat negeri ini, terutama di daerah Hilir Perak sejak Khamis lalu. Banjir air pasang besar itu berlaku setiap tahun dan secara kebetulan sering terjadi menjelang perayaan Deepavali dan dianggap paling tinggi dalam tempoh 10 tahun apabila mencatatkan ketinggian sehingga 3.4 meter dari paras permukaan laut Selat Melaka di Bagan Datoh.
Pengarah JPS negeri, Abdul Razak Dahalan, berkata catatan kenaikan air tertinggi banjir air pasang besar itu mula berlaku pada Khamis lalu sehingga kelmarin. "Bagaimanapun, penduduk yang tinggal di sepanjang tebing Sungai Perak, Sungai Kerian dan Sungai Dinding yang bersempadan dengan pesisiran pantai perairan Selat Melaka tidak berpindah kerana banjir air pasang yang bermula jam 5.20 pagi itu hanya naik antara 0.3 meter hingga 0.6 meter dan surut secara perlahan-lahan jam 9 pagi. "Semua Jurutera Daerah di Kerian, Manjung dan Hilir Perak sudah mengambil langkah bersiap sedia sejak beberapa hari lalu mengawasi lokasi yang mudah berlaku limpahan banjir air pasang di kawasan rendah, " katanya kepada pemberita selepas melawat ke beberapa kawasan sekitar bandar ini yang dilanda banjir air pasang kelmarin.
Beliau berkata, 15 peratus kawasan perumahan, premis perniagaan dan jabatan kerajaan yang terletak di pusat bandar ini yang membabitkan keluasan 24 hektar dilanda banjir air pasang berkenaan. Katanya, banjir air pasang yang bertembung dengan hujan lebat berterusan setiap petang di sebelah Hulu Perak menyebabkan beberapa lokasi rendah sekitar bandar ini dilimpahi banjir tetapi masih terkawal. "Pemantauan JPS mendapati dua lokasi iaitu ban (benteng penahan air) di Jalan Tokong, Jalan Pasar dan di Taman Rekreasi Jalan Maharajalela di sini didapati roboh menyebabkan air melimpah masuk ke bandar ini," katanya. Sehubungan itu, katanya, JPS telah mengambil tindakan memperbaiki serta-merta dengan menaikkan ketinggian ban di ketiga-tiga lokasi itu untuk mencegah air Sungai Perak yang mencatatkan kenaikan parasnya melimpah masuk ke kawasan bandar.
Abdul Razak berkata, satu lagi kawasan mudah berlaku banjir air pasang ialah penempatan setinggan di Kampung Trengganu di Jalan Mak Intan yang kini sedang dalam pembinaan projek tebatan banjir membabitkan kos RM8 juta yang kini 90 peratus siap.

No comments: