Tuesday, October 9, 2007

Golongan Media Sukar Memahami Isu Pemanasan Global


KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Kebanyakan wartawan media sukar memahami isu-isu mengenai pemanasan global dan perubahan cuaca yang semakin mendapat perhatian dunia pada masa ini, kata Pengarah Presiden Radio Republik Indonesia (RRI) Parni Hadi.

Katanya masalah itu adalah disebabkan laporan penemuan saintifik terhadap isu-isu itu bercorak begitu akademik dengan jadual, grafik dan penjelasan yang mengelirukan.

"Jika wartawan sendiri tidak dapat memahaminya, bagaimana dengan orang awam...oleh itu terdapat keperluan mendesak untuk latihan kewartawanan dalam isu-isu alam persekitaran khususnya pemanasan global dan perubahan cuaca," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kertas kerja bertajuk "Peranan Media Dalam Menangani Perubahan Cuaca" pada Sidang Kemuncak Media Asia 2007 di sini hari ini.

Parni juga berkata latihan juga diperlukan untuk saintis menyediakan penemuan saintifik secara mudah difahami oleh orang awam di mana ia berbeza dengan penulisan untuk jurnal akademik.

Indonesia dijadual menjadi tuan rumah Konvensyen Perubahan Cuaca Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCFCC) di Bali dari 3 hingga 14 Dis ini dengan penyertaan 10,000 perwakilan dari 189 negara termasuk 2,500 wartawan.

Parni berkata ke arah penganjuran konvensyen tersebut, kerajaan Indonesia telah meminta golongan media di negara itu meningkatkan kempen kesedaran di kalangan orang awam mengenai kesan bahaya perubahan cuaca ke atas ekonomi dan kesihatan penduduk.

Sementara itu, seorang lagi penceramah, Georges Leclere, Penasihat Media Global, dari LGMA Inc., Amerika Syarikat, mencadangkan sebuah program realiti mengenai penentangan terhadap pemanasan global disiarkan pada waktu perdana.

Berjudul "Go for the Green", merupakan program realiti berpasukan dengan tujuan mengurangkan kesan pemanasan global di samping hiburan, memberi ganjaran dan membuka minda penonton.

"Jika Asia dapat menerima cadangan program televisyen ini, maka ia boleh menerajui usaha menentang pemanasan global di peringkat tempatan dan serantau," katanya.

-- BERNAMA

No comments: