Oleh Mohamad Yatim Latip
MELAKA: Sistem empangan baru yang diperkenalkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menangani masalah banjir kilat di Kampung Limbongan, dekat sini yang siap dibina Julai lalu masih gagal mengatasi masalah berkenaan.Ini berikutan kira-kira 100 rumah penduduk yang terletak berhampiran dan di sepanjang longkang besar di kampung berkenaan masih dinaiki air setiap kali hujan lebat.Seorang penduduk, Zaide Abd Rahman, 49, berkata masalah banjir kilat di kampung berkenaan dikenal pasti akibat sistem saliran longkang besar di kampung itu yang tidak sempurna sejak hampir 20 tahun lalu.Katanya, harapan penduduk di kampung berkenaan supaya tidak lagi dibelenggu masalah itu masih tidak berkesudahan meskipun JPS membina sistem empangan baru di hujung longkang besar terbabit yang menghala ke laut dan menggunakan teknologi Jepun.
"Pada awalnya kami lega sebaik mendapati JPS membina empangan baru di kawasan itu bagi menahan air laut memasuki saliran longkang besar di kampung ini apabila air pasang.
"Bagaimanapun, sejak empangan baru itu siap, kami masih berdepan masalah banjir kilat dengan kejadian terbaru beberapa hari lalu akibat hujan lebat. "Kami sudah jemu kerana terpaksa membersihkan lantai rumah yang dimasuki air kumbahan dari longkang berkenaan selain menanggung kerugian akibat perkakas rumah rosak," katanya ketika ditemui di sini semalam.Sehubungan itu, katanya, agensi kerajaan yang berkenaan perlu mengadakan perjumpaan bersama penduduk dan wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Limbongan bagi membincangkan masalah berkenaan supaya satu pelan menyeluruh dapat dikemukakan bagi mengatasi isu itu.Sementara itu, Pengerusi JKKK Limbongan, Mohd Sarif Daud, berkata, pihaknya sudah memaklumkan masalah dihadapi penduduk di kampung terbabit kepada wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang yang melawat kawasan itu, baru-baru ini.
Monday, October 29, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment