KUALA LUMPUR 30 Okt. – Paras karbon dioksida di ruang atmosfera bumi dijangka meningkat 100 peratus menjelang tahun 2100, mengakibatkan permukaan bumi bertambah panas, kata Pensyarah University of California, Amerika Syarikat, Profesor ML Kavvas.
Menurutnya, karbon dioksida terhasil melalui pembakaran fosil, pernafasan manusia serta haiwan dan ia merupakan salah satu elemen gas rumah hijau.
Beliau memberitahu, selain suhu bumi bertambah akibat pengeluaran karbon dioksida itu, keseimbangan tenaga bumi juga dijangka tidak stabil sehingga menyebabkan berlakunya bencana alam.
‘‘Sekarang, kita sudah mempunyai peningkatan karbon dioksida di atmosfera sebanyak 21 peratus dan ia akan meningkat secara perlahan.
‘‘Suhu permukaan bumi pula menunjukkan peningkatan sebanyak 0.5 darjah celsius,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk Perubahan Cuaca dan Sumber Air dalam Persidangan Serantau Mengenai Perubahan Iklim di sini hari ini.
Kavvas menambah, model pengiraan am (GCM) yang dikeluarkan pada 1995 mendapati iklim dunia berubah secara perlahan-lahan dan paras karbon dioksida yang dilepaskan ke atmosfera bumi meningkat sebanyak satu peratus setahun.
Di Malaysia, beliau memberitahu, aliran sungai di seluruh negara tidak akan berubah berdasarkan keadaan simulasi hidroklimatik yang disukat pada 1984 hingga 1993 kecuali di Kelantan dan Pahang.
Jelasnya, kedua-dua negeri itu akan mempunyai aliran sungai yang deras dan berubah-ubah pada masa akan datang pada tahun 2025 hingga 2034 dan 2041 hingga 2050.
Ini kerana terdapat legeh di sungai-sungai negeri itu yang tidak lagi dapat menampung jumlah aliran air yang deras setiap kali musim tengkujuh sehingga merubah permukaan aliran sungai tersebut.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment