Oleh Jamaludin Husin
MUAR: Banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah ini, awal minggu lalu turut memberi rahmat kepada seorang penduduk di Bakri, di sini, kerana berjaya menangkap seekor ikan dipercayai daripada spesies kelisa atau nama saintifiknya 'Aropaima'.Ikan seberat 6.5 kilogram itu dipercayai dihanyutkan air di dalam kebun kelapa sawit dari sebuah bekas lombong di Kampung Parit Zin, dua hari selepas banjir berikutan hujan lebat selama enam jam, Selasa lalu.Petani yang menjumpai ikan itu kemudian menyerahkannya kepada seorang peraih dan penternak ikan air tawar di Parit Pecah untuk dipelihara di dalam akuarium di rumahnya.Bagaimanapun, peraih terbabit, Sahlan Ithnin, 44, berkata dia tidak menyangka ikan itu tidak dapat bertahan lama dan mati selepas tiga hari ditempatkan dalam akuarium walaupun melengkapkannya dengan peralatan oksigen.
Beliau berkata, kemungkinan ikan itu tidak dapat menyesuaikan diri dengan suhu dan air di dalam akuarium yang lebih panas berbanding dengan air dalam lombong.
"Saya percaya ikan ini daripada spesies kelisa yang kebiasaannya hidup di dalam tasik berair sejuk walaupun bentuk badannya tidak nipis dan memanjang sebagaimana ikan kelisa hiasan."Keadaan sisiknya berwarna keemasan dan bercahaya ketika ditempatkan di dalam akuarium dan ia dipercayai mempunyai nilai tinggi dan boleh mencecah hingga ribuan ringgit jika spesies itu masih hidup kerana sesuai dijadikan ikan hiasan," katanya.Bagaimanapun, katanya, rakannya yang menjumpai ikan itu tidak bernasib baik kerana ikan itu mati sebelum sempat dijual kepada mereka yang berminat untuk memeliharanya."Setakat ini saya masih menyimpan ikan itu di dalam peti sejuk di pusat ternakan di rumah saya dan akan menyerahkan kepada pemiliknya sama ada untuk dijadikan hidangan atau dijual," katanya.
Monday, October 29, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment