Tuesday, October 2, 2007

Cabaran baru PBB

Oleh ZULKEFLI HAMZAH (Yang membuat liputan Perhimpunan Agung PBB di New York)
KEBIMBANGAN mengenai planet bumi dan kehidupannya semakin mendapat perhatian para pemimpin dunia. Kehidupan manusia kian terancam. Kesan perubahan iklim setakat yang kita ketahui sangat mengerikan.
Ia menjadi topik khusus dan disentuh oleh para pemimpin yang berucap pada sesi perbahasan umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.
Walaupun ada yang menyebutnya sebagai agenda Amerika Syarikat (AS) tetapi perubahan iklim sudah menjadi topik hangat. Pada sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Sydney, bulan lalu ia juga menjadi topik utama.
Begitu juga ASEAN, sidang kemuncak di Singapura pada November ini akan menjadikan perubahan ilkim dan alam sekitar sebagai agenda utama pertemuan. Persidangan itu sendiri mengambil tema Tenaga, Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Pembangunan Berterusan.
Dalam masa terdekat ini, isu perubahan iklim akan menjadi topik perbahasan utama setiap persidangan serantau mahupun antarabangsa. Ia mungkin sama penting atau lebih penting daripada isu keselamatan dan keamanan.
Sudah ada kesedaran dalam kalangan pemimpin dunia bahawa perubahan iklim sukar untuk dicegah dan dihentikan. Perubahan iklim ibarat waktu yang akan terus bergerak. Kajian ilmiah mendapati planet Bumi yang kita huni ini akan tunggang-langgang akibat perubahan iklim.
Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) yang dibentuk oleh PBB meramalkan kutub utara akan hilang dalam tempoh 50 tahun lagi, peningkatan suhu 1.8 hingga 4 darjah Celsius, permukaan air laut naik 28 hingga 34 sentimeter dan peningkatan gelombang udara panas dan badai tropika.
Kajian juga mendapati perubahan iklim boleh menjadi punca meningkatnya pelbagai penyakit seperti wabak taun, demam berdarah dan malaria.
Bencana yang diakibatkan perubahan iklim dianggarkan menyebabkan kerugian ekonomi sebanyak AS$150 bilion setahun.
Kesannya memang sudah kita rasai sekarang. Banjir besar di kawasan yang sebelum ini bebas daripada bencana itu, ribut taufan dan gempa bumi. Tetapi seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa berucap pada perhimpunan agung PBB, bencana teruk akibat perubahan iklim itu belum tiba lagi.
Dan pada perhimpunan agung PBB ke-62 ini, masyarakat dunia telah melangkah ke era baru.
Buat pertama kali dalam sejarah, masalah perubahan iklim dibincangkan di peringkat tertinggi kepimpinan negara anggota.
Hasilnya, mereka sepakat untuk menjadikan pertemuan Kerangka Konvensyen Terhadap Perubahan Cuaca PBB (UNFCCC) ke-13 di Bali pada Disember ini untuk menggubal perjanjian baru menggantikan Protokol Kyoto yang tamat pada 2012.
Protokol Kyoto merupakan perjanjian di bawah naungan UNFCCC dan meliputi lebih 160 negara serta lebih 60 peratus dari negara-negara dari segi pelepasan gas rumah hijau secara global.
Pertemuan pemimpin peringkat tinggi itu yang diadakan sehari sebelum sesi perbahasan umum PBB, Isnin lalu memberi petunjuk positif terhadap kesungguhan politik pemimpin dunia menangani cabaran perubahan iklim melalui tindakan bersama.
Pelengkap
Satu-satunya forum yang akan digunakan untuk melaksanakan kesepakatan itu ialah melalui UNFCC. Inisiatif lain seperti ditegaskan oleh Abdullah, tidak boleh menjadi saingan tetapi pelengkap kepada kesepakatan dalam UNFCC.
UNFCC penting sebagai forum bagi membahas dan melaksanakan perjanjian pasca-Protokol Tokyo yang tamat pada 2012.
Dalam aspek ini, semua pemimpin dunia sebagaimana komitmen yang telah dinyatakan di perhimpunan agung PBB, perlu melaksanakan segala kesepakatan atau perjanjian sebelum akhir 2012.
Soalnya sekarang ialah komitmen negara maju seperti negara yang kini mengambil peranan sebagai ‘pemimpin dunia’, Amerika Syarikat (AS) untuk sama-sama melaksanakan segala kesepakatan pasca 2012.
AS sendiri tidak menandatangani Protokol Tokyo yang ditandatangani pada 1997. Kali ini kesungguhan AS dan negara maju lain ditagih serta tidak ada yang terkecuali.
Diharapkan ketidakhadiran Presiden George W. Bush pada sesi meja bulat berkenaan teknologi sebelum UNGA ke- 62 bermula tidak menggambarkan kedegilan AS untuk melaksanakan kesepakatan dalam menangani perubahan iklim pasca 2012.
Bush yang menghantar Setiausaha Negara, Condoleezza Rice bagaimanapun menyatakan AS memahami keperluan mendesak untuk menangani perubahan iklim.
Tetapi AS, sebagaimana selalunya mempunyai agenda sendiri dalam menangani isu ini. Bush pada minggu ini menganjurkan sendiri persidangan perubahan iklim yang dihadiri oleh 16 buah negara maju – negara penyumbang terbesar pencemaran.
Nampaknya Bush mahu membentuk pelan dan tindakan sendiri, yang mungkin nantinya akan digabungkan dengan usaha PBB melalui UNFCC.
Inilah politik PBB, negara maju khususnya AS tidak akan tunduk kepadanya tetapi sebaliknya mereka yang menentukan apa seharusnya dilakukan oleh badan dunia itu.
Dalam hal ini, negara-negara membangun termasuk Malaysia dan Indonesia, selaku hos kepada UNFCC ke-13 nanti, telah menyuarakan pendirian masing-masing untuk memastikan perjanjian pasca 2012 benar-benar berkesan dalam menangani cabaran perubahan iklim.
Tetapi sekali lagi, mampukah negara-negara maju melaksanakan peranan kritikalnya – mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, mengembangkan mekanisme yang memudahkan sumbangan dan mewujudkan peruntukan khas – sebagaimana permintaan negara membangun dan miskin?
Bencana
Inilah isu penting yang perlu diselesaikan segera sebelum berakhirnya perjanjian Protokol Kyoto yang akan menentukan nasib muka bumi ini daripada bencana akibat perubahan iklim.
Sebenarnya perubahan iklim telah menjadi topik percakapan masyarakat dunia sejak tahun 1990-an lagi.
Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada 1992 merupakan permulaannya.
Inilah yang diingatkan oleh Abdullah di depan khalayak antarabangsa semasa berucap pada UNGA, Jumaat lalu. Beliau mengingatkan bahawa mesej sidang kemuncak itu bukan lebih daripada “transformasi sikap dan tabiat kita yang akan membawa perubahan yang sewajarnya.”
“Kebenaran ini masih kekal,” tegas Perdana Menteri.
Nampaknya dalam menangani masalah sejagat ini, lebih banyak cadangan dan usul dibuat untuk memperlihatkan seolah-olah tindakan diambil sedangkan tiada langkah bermakna dilakukan untuk menjaga kesejahteraan Bumi ini.
Memang kesejahteraan planet Bumi dan semua penghuninya berada dalam kawalan kita tetapi sayangnya manusia itu sendiri yang tidak mahu berubah kerana kepentingan-kepentingan tertentu.
Negara maju dengan lagaknya enggan berkongsi kemakmuran untuk memberi pampasan kepada negara membangun dan miskin yang berusaha melakukan usaha-usaha mengawal pemanasan global.
Negara membangun dan miskin pula hanya pandai berteriak meminta bantuan sedangkan tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk memulihara alamnya. Hutan hijaunya digondol sesuka hati manakala kawasan bukit-bukau ditarah untuk pembangunan.
Lantas apa yang boleh kita lakukan jika bencana alam akibat kecuaian manusia itu terus berlaku.
Apakah kita hanya mahu berserah kepada takdir? Apakah bencana alam yang silih berganti sekarang merupakan petanda akhir zaman?
Yang jelas, masalah perubahan iklim akan menjadi satu lagi ujian keberkesanan peranan PBB sebagai sebuah badan yang mewakili masyarakat dunia selepas kegagalannya dalam menangani isu keselamatan dan keamanan sejagat.
– Utusan-1/10/2007

No comments: