Oleh: MOWARDI MAHMUD
SIDANG kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Sydney, Australia menyaksikan buat pertama kali pihak yang paling banyak mencemar alam sekitar – Amerika Syarikat, China dan Rusia – memeterai perjanjian ‘longgar’ untuk mengurangkan pengeluaran gas yang mencemarkan selepas keengganan mereka untuk mematuhi Protokol Kyoto.
Protokol Kyoto yang dipersetujui pada sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Kyoto, Jepun pada tahun 1997 menetapkan pengurangan tahap pengeluaran gas karbon dioksida yang boleh mempengaruhi iklim global. Protokol itu antara lain menetapkan negara maju mengurangkan lima peratus gas pada 1990 dan 12 peratus pada tahun 2008.
Perkembangan tersebut dilihat menarik kerana ia memberi gambaran tentang kesan pelepasan gas rumah hijau semakin disepakati oleh negara-negara maju dan negara sedang membangun. Ia sekali gus bakal mempengaruhi perbincangan PBB tentang perubahan iklim.
PBB melalui agensinya, World Meteorological Organization mendapati pemanasan cuaca sememangnya jelas dan kebanyakan disebabkan oleh kegiatan pembakaran bahan api fosil seperti arang batu.
Perkembangan ini juga boleh dilihat sebagai satu kompromi antara negara-negara anggota APEC yang mana secara bersama mewakili 60 peratus daripada ekonomi dunia.
Sebelum ini, negara-negara maju seperti AS memaksa negara-negara sedang membangun mengikut telunjuk mereka untuk memastikan persekitaran dunia tidak terus tercemar.
Negara-negara ekonomi sedang membangun yang diketuai oleh China dan Indonesia percaya negara-negara maju sepatutnya mengambil tanggungjawab lebih besar terutamanya dalam membiayai kos menyelesaikan masalah pemanasan global.
Negara-negara membangun mempunyai kebimbangannya tersendiri bahawa penetapan sebarang syarat yang mengikat akan menjejaskan perkembangan ekonomi mereka ketika negara-negara maju tidak mempunyai masalah berbuat demikian kerana kemajuan teknologi yang dimiliki.
Sebagai contoh, negara maju tidak mempunyai pergantungan terhadap bahan arang batu yang merupakan penyumbang kepada seperempat pengeluaran karbon di dunia.
Namun begitu, melalui persetujuan program perubahan cuaca APEC di bawah Deklarasi Sydney, negara-negara maju dan membangun dapat mencapai perjanjian yang lebih mengikat pada sidang kemuncak tahunan konvensyen mengenai iklim PBB yang akan diadakan di Bali, Indonesia pada akhir tahun ini.
Konvensyen di Indonesia akan merangka pakatan PBB yang baru menggantikan Protokol Kyoto yang akan berakhir pada 2012.
Perjanjian yang dicapai melalui APEC tidak boleh dianggap sebagai platform tetapi sebaliknya satu lonjakan untuk tindakan masa depan dalam menangani perubahan iklim dunia dengan lebih baik dan menyeluruh di kalangan penduduk dunia.
Monday, October 8, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment