PUTRAJAYA 18 Sept. – Kerajaan akan meminda Akta Perhutanan Negara 1984 dengan memindahkan prinsip beban pembuktian kepada pihak yang dikesan memiliki hasil balak bagi membanteras pembalakan haram yang semakin serius di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, menerusi prinsip itu pihak terlibat sama ada individu atau syarikat perlu membuktikan dari mana sumber balak itu diperoleh dan jika gagal, bererti mereka telah melakukan kesalahan.
‘‘Pada masa ini, walaupun ada kes yang dibawa ke mahkamah tetapi kejayaannya amat kecil dan kita dapati aspek pendakwaan (menimbulkan masalah) amat besar kerana beban pembuktian yang diperlukan sangat tinggi.
‘‘Maknanya mesti ada bukti yang jelas sebelum seseorang atau pihak tertentu dikenakan hukuman tetapi kalau mereka dapat buktikan, bererti mereka dapat keluarkan balak itu daripada punca yang sah dari segi undang-undang,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perhutanan Negara ke-21 di sini hari ini.
Najib yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Alam Sekitar berkata, akta sedia ada perlu dikaji semula kerana para penjenayah yang terlibat dalam pembalakan haram kini beroperasi secara sindiket dengan kaedah yang canggih.
Katanya, langkah meminda akta tersebut membuktikan ketegasan kerajaan dalam menangani isu pembalakan haram.
‘‘Ini prinsip-prinsip asas yang kita persetujui, jadi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan menyelaraskan tindakan bagi meminda akta ini dalam tempoh beberapa bulan ini,” katanya sambil memberitahu masalah pembalakan haram dibincangkan sebagai isu utama dalam mesyuarat hari ini.
Berdasarkan maklumat yang diterima sepanjang 2004, menurutnya, terdapat 62 kes pembalakan haram dilakukan di hutan simpan kekal, 45 kes pada 2005 dan 59 kes tahun lalu.
Mengenai pembalakan haram di tanah kerajaan pula, kata beliau, sebanyak 63 kes dikesan pada 2004, 123 kes (2005) dan 106 kes pada tahun lalu.
‘‘Aktiviti ini memberi kesan yang pelbagai kepada negara, antaranya merosakkan dasar kita untuk menguruskan alam sekitar secara baik dan mesra alam, memberi kesan kepada kepelbagaian bio serta pemeliharaan flora dan fauna selain pemanasan global,” katanya.
Di peringkat antarabangsa pula, kata Najib, ia memberi gambaran buruk kepada negara dan sekali gus boleh menjejaskan kepentingan ekonomi negara.
Katanya, industri kayu-kayan menghasilkan pengeluaran bernilai RM23 bilion setahun dan sekiranya negara-negara maju termasuk Kesatuan Eropah mengambil tindakan terhadap negara, ia sudah tentu menjejaskan ekonomi.
Di samping itu, menurut Najib, aktiviti pembalakan haram merentasi sempadan yang dilakukan di negara jiran turut menimbulkan masalah kepada negara.
Menjawab satu soalan, Najib berkata, walaupun aktiviti pembalakan haram banyak dikesan di Pahang, Perak dan Kedah, namun Kelantan merupakan negeri yang paling banyak mengalami kerosakan hutan.
‘‘Bagaimanapun, ia dielakkan dengan cara mewartakan semula kawasan terlibat supaya aktiviti itu menjadi pembalakan sah,” katanya.
Bagi meningkatkan keberkesanan untuk membanteras pembalakan haram, menurut Timbalan Perdana Menteri, kerajaan akan menggunakan teknologi remote sensing bagi mengesan tempat-tempat pembalakan haram.
‘‘Apa yang penting, ia mesti dilakukan sampai ke peringkat yang ada nilai pencegahan dan kalau mereka takut maka tindakan kita berhasil untuk hapuskan masalah pembalakan haram ini,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment