Thursday, November 8, 2007

Philips sasar jualan produk hijau naik 30%

Oleh KUZAIRI ISMAIL

KUALA LUMPUR 4 Nov. – Royal Philips Electronics (Philips) menetapkan sasaran untuk meningkatkan jualan ‘Produk Hijau’ kepada 30 peratus daripada jumlah perolehan syarikat menjelang 2012.
Ketua Pegawai Eksekutif Philips Malaysia Sdn. Bhd., Dr. R.Kumar berkata, sasaran yang ditetapkan secara global itu adalah 15 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu.
Komitmen itu jelasnya, adalah sebahagian daripada program EcoVision syarikat untuk mengurangkan penggunaan tenaga bagi produk dan perkakas keluaran mereka.
‘‘Program ini juga bertujuan meningkatkan penjimatan tenaga operasi Philips sebanyak 25 peratus.
‘‘ Malah, Philips turut menggandakan pelaburan dalam Inovasi Hijau kepada RM4.84 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya pada sidang media mengenai program EcoVision di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Produk Hijau Philips merupakan rangkaian produk yang menumpukan kepada penggunaan tenaga elektrik yang lebih menjimatkan, bebas pengeluaran sisa toksik, boleh dikitar semula serta mempunyai jangka hayat penggunaan yang lebih panjang.
Ketika ini, terdapat kira-kira 57 jenis Produk Hijau Philips di pasaran membabitkan kategori produk komersial untuk pengguna seperti lampu, alat elektronik audio visual dan produk berasaskan kesihatan.
Menurut Dr. R. Kumar, sasaran itu bermaksud menjelang akhir 2008, semua pejabat akan dipasang dengan sistem lampu jimat tenaga.
Ia juga katanya, bagi mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau dalam operasi pengeluaran dan pengedaran Philips.
Produk Hijau Philips jelasnya, mempunyai kebaikan kepada alam sekitar yang dipertingkatkan untuk manfaat pelanggan, pengguna dan masyarakat.
Tambahnya, Philips pada bulan ini juga telah memperbaiki prestasi alam sekitarnya dalam Indeks Kelestarian Dow Jones bagi tahun keempat berturut-turut.
Ia menjadikan syarikat tersebut pemimpin global dalam sektor Barangan Peribadi dan Kegunaan Rumah, tambah beliau.
‘‘Ini adalah satu pengiktirafan kepada Philips yang terus memanfaatkan permintaan yang meningkat bagi produk jimat tenaga dan mesra alam,” ujar Dr. R. Kumar.

No comments: