Thursday, November 8, 2007

Pencemaran udara berbahaya selepas kebakaran di AS

SAN DIEGO, California 28 Okt. – Para pegawai kesihatan semalam memberi amaran keras tentang kualiti udara yang boleh membahayakan kesihatan akibat kebakaran hutan yang telah memusnahkan sebahagian besar daripada wilayah-wilayah di selatan California minggu ini.
Amaran turut disuarakan tentang kesan-kesan pencemaran jangka panjang serta gas-gas rumah hijau akibat kebakaran itu, yang menyebabkan kepulan asap tebal berkumpul di udara.
Sebanyak 203,000 hektar daripada kawasan hutan, taman dan sehingga 1,800 buah rumah di selatan California musnah dalam kebakaran itu.
Dalam tempoh seminggu, kebakaran tersebut telah mengeluarkan jumlah gas rumah hijau yang sama banyak dengan pengeluaran yang dibuat oleh 440,000 buah kereta dalam tempoh setahun.
Amaran itu disuarakan oleh Patricia Rey, jurucakap untuk lembaga sumber-sumber air, yang merupakan sebahagian daripada Agensi Perlindungan Alam Sekitar negeri California.
“Kualiti udara sekarang telah bertukar daripada tahap tidak sihat kepada tahap bahaya, dengan setiap penduduk dinasihatkan supaya tidak keluar daripada rumah masing-masing,” katanya.
Amaran itu ditujukan kepada penduduk di lima wilayah, iaitu San Diego, Orange, Los Angeles, San Bernadino dan Riverside, setelah tahap pencemaran meningkat tiga kali lebih tinggi daripada tahap biasa.
“Keadaan sekarang amat membimbangkan,” kata Rey. “Kami kini sedang memantau secara rapi untuk memberi nasihat yang betul kepada penduduk di kawasan-kawasan berkenaan,” tambahnya.
Menurut indeks kualiti udara, catatan 151-200 bermakna tahap “tidak sihat,” yang bermakna “setiap orang akan mula merasai kesan-kesan kesihatan, manakala golongan yang sensitif mungkin mengalami keadaan kesihatan yang lebih serius.”
Catatan 300 menunjukkan tahap bahaya yang bermakna “amaran kesihatan bermulanya keadaan-keadaan kecemasan. Penduduk di seluruh kawasan mungkin mengalami keadaan itu.”
Kewujudan debu-debu toksik di udara boleh memudaratkan kesihatan golongan tua, kanak-kanak dan mereka yang menghidap penyakit asma atau masalah pernafasan.
“Golongan yang sensitif kepada keadaan sekarang dinasihatkan supaya tidak keluar daripada rumah masing-masing, mengelakkan daripada melakukan aktiviti senaman di luar rumah dan memasang alat pendingin udara daripada membuka tingkap,” katanya.
– AFP

No comments: