Saturday, November 3, 2007

Pemanasan global lebih hebat daripada bom pemusnah massa?

MENGIKUT sains, Bumi kita telah terbentuk 4.6 bilion tahun yang lalu. Bumi merupakan sebagai satu oasis di tengah-tengah alam semesta kerana ia mempunyai kehidupan, sama ada primitif mahupun yang cerdas seperti yang diwakili oleh manusia.
Kewujudan kehidupan di bumi itu menjadi realiti kerana terbentuknya beberapa lapisan atmosfera yang meliputi Bumi.
Struktur Bumi dengan lautan, tasik, gunung-ganang, sungai, hutan dan tumbuhan memberi keadaan yang mesra untuk kehidupan, namun jika keseimbangan ini diganggu maka padahnya akan diterima oleh manusia sendiri.
Atmosfera terdiri daripada beberapa lapisan gas dan wap air setebal 2,400 kilometer (km) menyelubungi keseluruhan planet Bumi.
Atmosfera itu dikawal oleh graviti bumi. Dalam satu lapisan yang digelar sebagai trotosfera, ia mempunyai gas oksigen setebal 11 km, satu elemen yang diperlu oleh semua benda hidup termasuk manusia.
Pada lapisan ini, terdapat jumlah oksigen dan haba yang mencukupi bagi menampung kelangsungan kehidupan dengan pergerakan udara yang dikenali sebagai cuaca.
Kenapa kita perlukan lapisan ini? Atmosfera ini terdiri daripada lima lapisan. 75 peratus daripada gas dalam atmosfera didapati pada lapisan 16 km terbawah.
Pada lapisan terbawah, terdapat banyak gas seperti oksigen dan nitrogen yang mendukung kehidupan.
Lapisan tertinggi mengandungi hidrogen dan helium, kedua-dua gas yang tidak mendukung kehidupan.
Tanpa lapisan atmosfera ini, semua air di bumi akan menyejat lalu menjadikan landskap bumi kering-kontang seperti padang jarak padang terkukur. Bumi akan dihujani oleh sinar berbisa seperti ultraunggu dari matahari.
Bagaimana pula gejala pemanasan global?
Beberapa gas di dalam atmosfera kita, khususnya karbon dioksida menjerat haba yang dihasilkan oleh Bumi.
Manusia mengeluarkan banyak gas buatannya sendiri ke udara, sama ada melalui corong-corong kilang atau kenderaan yang seterusnya menjerat haba.
Kegiatan ini semakin meningkat dan dilaporkan suhu Bumi meningkat sebanyak satu darjah setiap 25 tahun. Gejala ini digelar sebagai pemanasan global.
Sebelum terjadi era perindustrian, atmosfera Bumi mengandung 280 ppm (bahagian per juta ) karbon dioksida. Kini jumlah itu meningkat hingga 370 ppm. Penelitian menunjukkan kenaikan itu akan terjadi hingga 450, 550, 650, 750 dan 1,000 ppm.
Sebuah laporan yang dikeluarkan badan ilmiah PBB untuk perubahan iklim (IPCC) menunjukkan, pada dekad 1990-an suhu Bumi mencapai titik terpanas dalam sejarahnya. Tahun 1998 sebagai puncaknya, dinyatakan sebagai tahun terpanas sejak pencatatan suhu Bumi bermula 1861.
Rata-rata suhu global meningkat pada abad ke-20, terutama pada tahun-tahun antara 1910-1945 dan 1976-2000.
Akibatnya, terjadi perubahan iklim global. Puncak-puncak ais banyak yang mencair dan akan menenggelamkan banyak pulau, sementara terdapat kawasan terjadi suhu ekstrem yang meningkatkan kawasan gurun atau curahan hujan tinggi yang menyebabkan banjir.
Pemanasan global boleh membahayakan manusia, malahan telah diperkatakan ia boleh menjadi lebih dahsyat daripada senjata pemusnah massa.
Kenapa? Ini kerana seperti aksi keganasan, fenomena pemanasan global tidak mengenal perbatasan negara.
Ia boleh melampiaskan keganasannya di semua tempat dalam berbagai-bagai bentuk.
Misalnya dalam gelombang panas, ia boleh menyebabkan kemarau panjang, banjir atau ribut taufan.
Keadaan tersebut boleh menyumbang kepada kelaparan dan merebaknya wabak penyakit kepada manusia di seluruh dunia.
Sebagai contoh, pada 2003 di Amerika Syarikat (AS) sahaja, sebanyak 562 kes puting beliung dicatatkan pada bulan Mei tahun itu yang telah mengorbankan 41 nyawa.
Di India, suhu sebelum monsun mencecah 49 darjah Celsius, 5 darjah lebih panas daripada suhu normalnya.
Ditaksirkan apabila gelombang panas menyerang, ia boleh menyebabkan korban mencecah 1,500 orang dan jumlah ini adalah setengah daripada jumlah mangsa yang terkorban akibat serangan pengganas pada 11 September di AS.
Bayangkan jika pemanasan global betul-betul melampiaskan laknatnya pada Bumi?
Beribu malah berjuta manusia boleh terkorban seperti terkena letupan senjata pemusnah massa.
Kesannya bukan sahaja di Iraq, India, Bangladesh atau di beberapa negara tertentu sahaja tetapi seluruh penduduk dunia tidak akan terkecuali daripada menerima kesan pemanasan global.
Sememangnya perubahan iklim global yang disebabkan oleh angkara manusia sendiri tidak kurang bahayanya seperti kesan penggunaan senjata nuklear ataupun biologi, meskipun ramai manusia tidak menyedari hakikat ini.
Akibat pemanasan global sungguh mengerikan dan nampaknya AS telah disenaraikan sebagai antara negara penyumbang terbesar terhadap berlakunya pemanasan global.
Mengikut pakar peneliti Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Cuaca (Intergovernmental Panel On Climate Change), John Houghton, AS adalah negara yang paling banyak menghasilkan pencemaran.
Menurutnya, walaupun AS hanya mempunyai jumlah penduduk yang mewakili 5 peratus penduduk dunia, tetapi ia menghasilkan kira-kira 25 peratus daripada jumlah gas rumah kaca dunia.
Jumlah gas karbon dioksida yang dihasilkan dari kilang dan kenderaan di AS adalah cukup tinggi.
Salah satu persetujuan antarabangsa untuk mengurangi gas rumah kaca adalah Protokol Kyoto yang menetapkan bahawa negara-negara industri agar mengurangi pancaran gas karbon dioksida ke udara dalam jangka waktu tahun 2008 hingga 2012.
Malangnya persetujuan itu menghadapi bantahan besar. Persetujuan ini masih memerlukan pengubahsuaian dari Rusia dan dalam beberapa aspek, beberapa persetujuan tidak diendahkan oleh AS, antara pengeluar karbon dioksida terbesar dunia.
Negara-negara industri lain turut terlibat dalam menyumbang ke arah pemanasan global. Pemerintah AS seperti tidak mahu menangani masalah itu dengan serius bahkan cenderung mengabaikannya.
Apabila gelombang global tidak dihiraukan maka tidak mustahil tragedi akan berlaku satu hari kelak.
Misalnya, lapisan ais di Greenland, Kutub Utara akan mencair dalam tempoh 100 tahun lagi. Bila ais itu cair, maka ketinggian permukaan laut di seluruh dunia akan naik sekitar tujuh meter.
Lapisan ais di Greenland adalah lapisan ais kedua terbesar. Apabila lapisan ais hilang dari Greenland, maka daratan akan menjadi panas kerana ia berada di tempat rendah, dan lebih banyak menyerap sinar matahari, bukan memantulkannya seperti ketika terdapat ais dahulu.
Kajian juga mendapati kandungan oksigen dalam lautan dalam antara Australia dan Antartika telah merosot sebanyak 3 peratus.
Jika kajian lain menunjukkan terjadinya kemerosotan oksigen di lautan bahagian selatan hemisfera Bumi, maka itu akan menjadi satu isyarat kuat yang pemanasan global sudah mengganggu arus aliran lautan.
Mengikut NASA, sebuah agensi angkasa, jika ais di Kutub Utara terus mencair, ini boleh menjejas perjalanan arus lautan.
Fenomena ini boleh berlaku dalam tempoh 20 tahun lagi. Malahan dengan pemanasan global akan terjadi penyejatan dan menyebabkan hujan lebat dan banjir di Amerika Utara.
Banjiran daripada air segar itu mengurangkan ketumpatan permukaan dan mencegah air itu daripada terus masuk ke lautan.
Biasanya menyusurnya air masin secara tegak ke dalam lautan akan membantu memacu pusingan lautan atau apa yang dipanggil sebagai Great Conveyer Belt.
Gejala pemanasan global boleh melambatkan pusingan ini, sambil mengurangkan aliran air sejuk ke selatan Australia.
Air sejuk kaya dengan oksigen. Jika benar ini terjadi Eropah akan menjadi sangat sejuk. Kehidupan laut di daerah tropika akan mengalami kemerosotan oksigen dan akan menimbulkan krisis mata pencarian sebahagian besar manusia turut terjejas.
Maka banyak kemudaratan yang akan timbul akibat daripada pemanasan global. Apakah manusia yang sedar turut mengambil tindakan yang wajar?

No comments: