Saturday, November 3, 2007

4,565 pusat pemindahan banjir dikenal pasti: TPM

Persiapan awal hadapi musim tengkujuh berikutan perubahan iklim
PUTRAJAYA: Sejumlah 4,565 pusat pemindahan banjir yang mampu menampung 1.23 juta mangsa sudah dikenal pasti di seluruh negara sebagai persiapan menghadapi kemungkinan bencana itu pada musim tengkujuh ini berikutan perubahan iklim dunia, kata Datuk Seri Najib Razak. Timbalan Perdana Menteri berkata, ia adalah penambahan sebanyak 532 pusat pemindahan dan peningkatan kapasiti sejumlah 174,585 berbanding tahun lalu. "Selain itu, semua peralatan mengesan hujan, cuaca dan kemungkinan bencana, sudah diatur serta beroperasi dan jika berlaku banjir kita akan beri notis atau amaran secepat mungkin," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Pusat, di sini, semalam.
Ditanya jika langkah menambah bilangan dan kapasiti pusat pemindahan banjir itu bermakna bencana kali ini dijangka lebih buruk, Najib berkata, ramalan mengenai perkara itu amat sukar dibuat kerana ia bergantung kepada hujan. "Setakat ini kita tidak mahu membuat apa-apa ramalan secara terbuka cuma menjelang Disember dan Januari ini kita jangkakan pada umumnya hujan lebih daripada biasa tetapi ini tidak bererti akan berlaku banjir," katanya. Timbalan Perdana Menteri berkata, satu stor berpusat akan diwujudkan bagi menempatkan segala peralatan bantuan banjir seperti pam air dan bot penyelamat sebagai tambahan kepada peralatan sedia ada milik pelbagai agensi dan kementerian.
Katanya, untuk sementara waktu stor berpusat itu akan ditempatkan di Stor Simpanan Perang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sungai Buloh. "Apabila banjir berlaku, maka peralatan ini akan dipindahkan ke peringkat negeri yang memerlukan atau kawasan berkenaan," katanya sambil menjelaskan kerajaan juga mengarahkan semua langkah awal bagi mencegah banjir diambil di seluruh negara secepat mungkin. "Jika ada longkang tersumbat, hendaklah dibersihkan. Jika ada halangan yang menyekat aliran sungai, tindakan mestilah dibuat segera," katanya. Mengenai sumbangan bantuan kepada mangsa banjir, Najib menasihatkan orang awam dan pihak swasta menyalurkan segala bantuan barangan kepada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri supaya pengagihan adil dapat diselaraskan.
"Apa yang berlaku ketika banjir di Johor tahun lalu, mereka terus pergi ke pusat pemindahan banjir dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati mangsa banjir yang tidak menerima sumbangan," katanya. Najib berkata, kerajaan membelanjakan RM196 juta untuk bantuan ehsan dan lebih RM1 bilion untuk pemulihan kemudahan asas seperti jalan raya dan jambatan berikutan banjir tahun lalu. "Ini tidak termasuk kerugian peribadi yang dialami mangsa banjir. Kita ada kadar bantuan yang kita amalkan dan jawatankuasa bencana pusat boleh tentukan jika ada tambahan yang perlu dipertimbangkan," katanya. Mengenai pengwujudan Rangkaian Bersepadu Radio Kerajaan, Najib berkata, ia sedang giat dilaksanakan kontraktor tetapi sebahagian daripada kapasitinya mungkin boleh digunakan. Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Keizrul Abdullah, berkata kira-kira 29,000 kilometer persegi atau sembilan peratus daripada keluasan keseluruhan negara sering dilanda banjir. "Setiap tahun banjir akan berlaku di beberapa kawasan di seluruh negara... ini bermakna seluruh kawasan kita terdedah kepada banjir," katanya.

No comments: