Saturday, November 3, 2007

CIMB sasar urus dana RM19b akhir tahun ini

KUALA LUMPUR 27 Sept. – CIMB-Principal Asset Management Bhd. (CIMB) berada pada landasan yang betul bagi mencapai sasaran menguruskan dana bernilai RM19 bilion pada akhir tahun ini.
Ketua Eksekutifnya, Noripah Kamso berkata, sasaran tersebut mampu dicapai berdasarkan sehingga bulan lalu, pihaknya telah mengurus dana berjumlah RM17.4 bilion.
‘‘Kami yakin untuk mencapai jangkaan nilai aset yang telah ditetapkan pada awal tahun ini berdasarkan kemasukan lebih banyak dana untuk diuruskan oleh syarikat selain pelancaran lima lagi dana sebelum tahun ini,’’ katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran CIMB-Principal Climate Change Equity Fund di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu ialah Penolong Setiausaha Natural Resources, Chong Poon Chai, Pengurus Besar DWS Investment Asia, Michele Bang dan Ketua Pegawai Pelaburan CIMB-Principal, Raymond Tang.
Pada tahun lalu syarikat itu menguruskan dana bernilai RM15 bilion.
Bagaimanapun, Noripah memberitahu, jumlah dana yang besar diuruskan tahun lalu berikutan penggabungannya dengan SBB Asset Management dan SBB Mutual.
Mengulas lanjut mengenai dana baru, beliau berkata, tiga daripada lima buah dana yang akan dilancarkan sebelum tahun ini adalah dana tempatan dan selebihnya akan dilancarkan di Jakarta, Indonesia.
Menurutnya, melalui lima pelancaran dana baru termasuk satu dana yang dilancarkan hari ini, CIMB-Principal dijangka melancarkan 13 buah dana pada tahun ini.
Noripah berkata, selain daripada pelancaran dana baru yang akan membantu meningkatkan jumlah pengurusan aset CIMB- Principal, pihaknya akan menerima mandat institusi bagi menguruskan tunai mereka.
Jelasnya, kebanyakan syarikat yang memberi kepercayaan kepada CIMB-Principal menguruskan tunai yang besar, iaitu antara RM100 juta dan RM200 juta.
Katanya, CIMB-Principal kini telah mengurus 66 dana dan daripada jumlah itu 21 dana merupakan dana berlandaskan Syariah.
Mengulas lanjut mengenai CIMB-Principal Climate Change Equity Fund, beliau berkata, dana bersaiz 300 juta unit yang dijual pada harga 50 sen seunit itu dijangka habis dilanggan dalam tempoh promosi selama 21 hari yang berakhir pada 17 Oktober ini.
Katanya, keyakinan terhadap jualan itu berdasarkan pelaburan yang akan dilakukan oleh dana itu ke dalam Deutsche Asset Management (Asia) Limited’s DWS Invest Climate Change (DWS) di Luxembourg.

No comments: