Wednesday, September 26, 2007

Satu pertiga Bangladesh berisiko tenggelam

DHAKA: Peningkatan paras laut setinggi satu meter akan menenggelamkan satu pertiga daripada Bangladesh dan menyebabkan berjuta-berjuta rakyat kehilangan tempat tinggal, kata pegawai kanan kerajaan.

Fakhruddin Ahmed, yang bercakap pada persidangan perubahan cuaca di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, menggesa negara kaya supaya membantu negara miskin menangani kepanasan global.

“Hari ini kita berdepan dengan realiti sukar fenomena perubahan suhu bukan lagi mitos dan kesannya tidak lagi sekadar agakan. Saya bercakap bagi pihak Bangladesh dan ramai lagi yang bakal berdepan bencana besar dengan peningkatan keganasan dan aliran cuaca yang tidak dapat dijangka

“Peningkatan paras laut setinggi satu meter akan menenggelamkan satu pertiga daripada keseluruhan kawasan Bangladesh yang akan menjejaskan 25 hingga 30 juta penduduk,” agensi berita BSS memetik Fakhruddin sebagai berkata.

Kawasan rendah Bangladesh mempunyai penduduk seramai 144 juta, 40 peratus daripadanya memperoleh pendapatan tidak sampai satu dolar sehari.

“Negara membangun tidak mampu menanggung kos peningkatan teknologi ekonomi mereka. Rejim selepas Kyoto perlu menubuhkan tabungan baru. Ia mesti memastikan pemindahan teknologi ini kepada negara seperti Bangladesh,” katanya.

Bangladesh diletakkan dalam undang-undang darurat sejak Januari lalu, apabila kerajaan disokong tentera mengambil alih kuasa sehari selepas pilihan raya dibatalkan kerana dakwaan penipuan undi. –Agensi

No comments: