NEW YORK 28 Sept. – Perubahan iklim yang menakutkan serta meningkatnya percanggahan antara budaya dan tamadun adalah dua cabaran global yang perlu ditangani dunia kerana ia menyentuh segenap kehidupan manusia tanpa pengecualian, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Berucap di depan khalayak antarabangsa pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-62 di sini hari ini, Perdana Menteri menegaskan, perubahan cuaca kini menjejaskan kehidupan dunia manakala percanggahan sedang mengancam hubungan antara manusia dan negara.
Beliau bagaimanapun optimis persaudaraan dan kebersamaan sesama manusia dalam berhadapan dengan cabaran itu akan terus terjalin jika isu-isu strategik dan politik dapat diselesaikan, sekali gus menutup jurang salah faham antara budaya dan tamadun.
“Usaha ke arah itu memerlukan kebijaksanaan dan keberanian untuk memahami masalah yang timbul kerana kehidupan planet bumi ini sebenarnya masih berada dalam kawalan kita,” katanya pada perhimpunan 150 negara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.
Perdana Menteri menambah, semua pihak mesti mempunyai keazaman untuk membuka laluan itu bagi memenuhi keperluan generasi akan datang dengan memanfaatkan sains dan teknologi.
Dalam ucapan yang dihadkan selama 15 minit itu, Abdullah menekankan bahawa cabaran untuk menghadapi perubahan iklim yang sedang melanda dunia tidak pernah berlaku sebelum ini dan kesannya adalah besar dan menakutkan.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat dunia supaya memulakan proses perundingan pascaProtokol Kyoto yang perjanjiannya akan tamat pada 2012.
Katanya, sebarang inisiatif menangani perubahan iklim di peringkat nasional atau serantau perlu saling melengkapi dan dilaksanakan di bawah rangka kerja PBB dengan negara miskin diberi tanggungjawab yang kurang berbanding negara maju.
Pada pertemuan khas pemimpin tinggi PBB mengenai perubahan iklim di sini Isnin lalu, Malaysia menekankan perlunya dana baru diwujudkan dengan sumbangan oleh negara maju selain memudahkan penyaluran peruntukan sedia ada untuk menangani isu tersebut.
Dalam hubungan itu, Perdana Menteri menarik perhatian masyarakat dunia supaya tidak melupakan Persidangan Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada 1992 dengan tema menghargai alam sekitar dan pembangunan mapan.
“Mesej persidangan itu ialah perubahan sikap dan tingkah laku akan membawa perubahan bermakna. Kebenaran ini kekal dan kita perlu menunjukkan jalan semasa kita memulakan proses rundingan pascaperjanjian 2012 mengenai perubahan iklim,” katanya.
Menyentuh mengenai percanggahan antara Islam dan Barat, Abdullah yang juga Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) berkata, punca utama konflik itu ialah kesilapan persepsi Barat bahawa Islam menyokong eksklusiviti dan menggalakkan ekstremisme.
Perdana Menteri berkata, semua pihak mesti mengambil tindakan untuk menghasilkan persefahaman tinggi antara pengikut budaya dan ketamadunan dengan Malaysia menyokong penuh sebarang usaha ke arah itu di peringkat antarabangsa.
Abdullah menegaskan, agama bukanlah punca masalah dunia sekarang sebagaimana disahkan oleh Laporan Kumpulan Peringkat Tinggi Perikatan Ketamadunan pada 13 November lalu.
Katanya, konflik antara Barat dan negara Islam adalah akibat penggunaan berterusan kekerasan oleh pihak yang berkuasa ke atas yang lemah untuk kepentingan teritorial dan strategik.
“Kesan daripada persaingan untuk mengawal dan mendominasi, hari ini wujud kesengsaraan di Afghanistan, Lebanon, Bukit Golan dan Iraq,” kata Perdana Menteri.
Di Iraq, katanya, kependudukan asing di negara itu yang telah menyebabkan kesukaran hidup rakyatnya kini merupakan fakta yang tidak boleh dinafikan.
“Rakyat Iraq seharusnya diberi sepenuh peluang untuk menentukan masa depan mereka sendiri. Untuk tujuan ini, Iraq memerlukan sebuah kerajaan yang boleh terlaksana melalui perdamaian,” katanya.
Abdullah memberikan contoh pengalaman perpaduan di Malaysia melalui perkongsian kuasa dalam kerajaan yang diwakili oleh semua kaum dan agama.
Beliau berkata, masyarakat antarabangsa mempunyai tanggungjawab untuk membantu rakyat Iraq mendapatkan keamanan dan kestabilan.
Begitu juga dengan masalah di Palestin, yang menurut Perdana Menteri, keamanan sebenar di sana hanya boleh dicapai jika hak rakyat diakui dan dilindungi semasa proses rundingan sedang dilakukan.
“Kedua-dua belah pihak yang berkonflik – Israel dan Palestin – mesti berkompromi untuk mencapai perdamaian,” katanya yang percaya jika masalah Palestin selesai, akan wujud keharmonian antara Barat dan negara Islam.
Menjelaskan pendekatan Islam Hadhari yang kini dilaksanakan oleh Malaysia, Abdullah menjelaskan, apabila timbul perbalahan, Islam menggalakkan kemaafan dan perdamaian melalui musyawarah yang boleh diterjemahkan dalam bentuk dialog dan rundingan.
– Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment