Sunday, September 23, 2007

Kehangatan alam sekitar

HARI Alam Sekitar Sedunia disambut setiap tahun pada 5 Jun apabila dipersetujui oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1972. Seiring dengan itu, Program Alam Sekitar PBB turut diwujudkan pada tahun sama.
Hari Alam Sekitar Sedunia digunakan sebagai landasan menyuburkan rangsangan kesedaran terhadap alam sekitar. Selebihnya ia turut digunakan bagi melebarkan perhatian awam dan politik terhadap kepentingan alam kurniaan Allah s.w.t ini.
Tahun ini temanya ialah Pencairan Ais - Satu Topik Hangat (Melting Ice - a Hot Topic).
Seperti biasa, sebagaimana dijangka, acara menyusuli hari penghargaan kepada alam sekitar ini adalah tidak lebih umpama ritual semata-mata. Pelbagai program-program kesedaran yang direncanakan ternyata tidak pernah menyedarkan – hari ini diadakan kempen kebersihan, esok sungai kotor semula menjadi tong sampah. Tiap kali kempen kitar semula diperingatkan, esok kembali tidak sedar, botol ke mana dilempar, tin di mana dibuang.
Tetapi peraduan menulis esei mengenai alam sekitar, pertandingan poster di sekolah, menanam pokok selain program kitar semula dan kempen kebersihan ini tetap diadakan di sebalik usaha pelbagai pihak berwajib menyedarkan pentingnya alam ini dijaga. Sehingga pada satu tahap ia boleh sahaja dianggap mencurah air di daun keladi.
Kita barangkali sudah tidak berminat untuk membahas tentang tahap kesedaran tentang alam sekitar kerana grafnya menunjukkan peningkatan. Di dada media dan liputan televisyen, isu alam sekitar nampaknya mendominasi, satu petunjuk bahawa ia diminati selain banyak pihak sedar akan kepentingannya.
Tetapi perlu juga diakui bahawa tahap kesedaran itu bukan satu topik hangat. Maka, relevannya Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini ialah kita meraikannya semasa bumi alam kita menjadi semakin panas, bahkan ia semakin melarat tertekan dengan segala macam masalah alam sekitar dari hari ke hari. Itu topik hangat.
‘‘Alam yang semakin panas ini berkait rapat dengan kesan rumah hijau. Kesan rumah hijau pula adalah fenomena semula jadi kerana tanpanya planet Bumi yang kita diami ini akan menjadi 30 darjah Celsius lebih sejuk,’’ kata Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr. Zaini Ujang kepada Utusan Malaysia.
Beliau memudahkan cerita mengenai alam yang panas itu dengan mengaitkan bahawa ia satu bab yang dipelajari dalam subjek Geografi.
Katanya, Bumi dipanaskan oleh pancaran matahari. Apabila ia panas, ia memantulkan haba itu naik ke atmosfera.
Dianggarkan bahawa kira-kira 70 peratus daripada tenaga matahari itu naik semula ke langit. Namun sebahagian daripada sinar inframerah yang naik itu terperangkap dalam gas rumah hijau seperti karbon dioksida, karbon monoksida, kloroflurokarbon, metana dan sulfur oksida.
‘‘Haba yang terperangkap itulah yang memanaskan bumi. Kesan rumah hijau menjadikan bumi ini cukup panas,’’ ujar beliau yang juga Pengarah Institut Alam Sekitar dan Sumber Air (IPASA) UTM.
Tambah Zaini, peningkatan pelepasan gas rumah hijau telah mengganggu keseimbangan sistem yang kompleks itu menjadi alam yang kita diami ini panas. Justeru tidak hairan jika rekod bumi mencatatkan perkembangan yang pelik dan aneh akibat daripada gangguan tersebut.
Bagaimana tidak pelik dan macam mana bukan aneh jika ais di Lautan Artik boleh mencair. Contoh klasik lain pula, ialah perbezaan cuaca ketara benua Eropah dan Amerika dengan Afrika. Eropah biasanya dikaitkan dengan cuaca sejuk manakala Afrika pula panas, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Benua Afrika dilaporkan dengan kehadiran salji buat pertama pada tahun lepas – kali pertama juga sejak tahun 1981.
Laporan menyebut, cuaca sejuk melampau di kawasan termasuk bandar Soweto, selatan Johannesburg serta kawasan penempatan eksklusif di Sandton mencatatkan suhu sehingga 1 darjah Celsius.
Kalangan saintis mengaitkan keadaan pelik itu sebagai kesan pemanasan global– satu keadaan yang dijangka berlarutan akibat pencemaran gas rumah hijau hasil pembakaran bahan fosil yang terperangkap dalam atmosfera.
Biarpun sukar membuktikannya, seperkara yang perlu diakui ialah corak cuaca bumi kini berubah.
“Akibatnya paras air laut semakin meningkat yang berkait rapat dengan salji yang semakin berkurangan atau cair di kebanyakan kawasan pergunungan serta bongkah ais Greenland yang mencair. Ini menyebabkan air laut semakin panas dan menyebabkan taufan makin ganas berlaku dengan kerap.” Itulah pula logiknya di mana taufan aneh dan pelik banyak berlaku di China, Taiwan dan Vietnam sejak beberapa tahun lepas.
Bumi ini semakin panas dan adanya ancaman pemanasan global bukan sesuatu yang mengejutkan lagi. Cumanya, cara penerimaan kita tentang perkara yang satu itu. Tidak usah pergi terlalu jauh, melangkaui ais mencair di Artik atau perubahan iklim di benua Eropah atau Afrika.
Ambil contoh di negara kita sahaja. Kalau kita bersetuju, bukankah kawasan Cameron Highlands dan Bukit Fraser, yang satu ketika dahulu sejuk dingin lalu menjadi tumpuan, kini telah terasa bahang?
Ahli sains sangat pasti dan amat yakin bahawa 98 peratus pemanasan global yang kita alami sekarang berpunca daripada pelepasan karbon dioksida akibat pembakaran bahan bakar fosil yang telah dilakukan sejak abad ke-18.
Dalam hal ini, Protokol Kyoto dan pertumbuhan ekonomi rendah karbon perlu dijadikan asas dalam strategi dan pelan khusus mengikut konteks perubahan iklim bumi.
Sementara itu, sebagai warga alam, kita wajar insaf bahawa tiada satu sen dibayar apabila bumi diwarisi oleh kita Ia diberi percuma oleh Tuhan pencipta alam .
Namun, tidak semestinya kerana ia percuma, kita mengabaikan usaha menstabilkan alam sekitar itu sendiri. Seperkara yang perlu diterima, kebanyakan benan dan segala macam masalah yang ditanggung oleh alam ini adalah berpunca daripada kita semua – manusia, yang menjadi penghuni serta warganya sejak berkurun-kurun lama dahulu.
Tidak usah menunggu fenomena ais mencair, pemanasan global atau ia dijadikan topik hangat baru tergesa-gesa menjaga kepentingan alam sekitar.
Maka kerana itu kita percaya bahawa hari alam sekitar itu sepatutnya diraikan setiap hari, bukan 5 Jun setiap tahun seperti yang dilakukan sekarang.

No comments: