Friday, August 17, 2007

Malaysia sedia bekerjasama atasi pemanasan global

Daripada: AZNAN BAKAR

OSAKA 25 Mei – Malaysia sedia bekerjasama dengan negara-negara maju terutama Jepun dalam menangani isu pemanasan global yang kini menjadi ancaman kepada dunia, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Perdana Menteri berkata, ia termasuk mengambil bahagian secara aktif dalam apa juga perancangan berhubung perkara tersebut terutama dalam usaha mencapai matlamat bumi yang lebih sejuk pada tahun 2050.
“Malaysia sedia bekerjasama dan mengambil bahagian secara aktif, cuma kita tunggu cadangan yang akan dibawa oleh Jepun,” katanya pada sidang akhbar pada hari terakhir lawatan kerjanya ke Jepun di sini hari ini.
Menurut Abdullah, pada pertemuannya dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe menegaskan tentang pentingnya usaha menangani isu perubahan cuaca dunia sekarang.
Untuk itu, kata Abdullah, Jepun mahukan kerjasama di peringkat global bagi sama-sama berusaha mencari pendekatan terbaik dalam berhadapan dengan isu alam sekitar yang menyumbang kepada pemanasan global.
Pada masa yang sama, katanya, Malaysia juga perlu melihat kepada penggunaan tenaga alternatif bagi mengurangkan pergantungan kepada tenaga konvensional seperti hidro, minyak dan arang batu.
Katanya, tenaga solar, misalnya, boleh dimanfaatkan bagi menggantikan tenaga terbabit kerana sumbernya yang berterusan.
Sebab itu, katanya, lebih banyak penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu dilakukan bagi mencari kaedah mendapatkan tenaga solar dengan cara yang lebih murah supaya ia dapat digunakan secara meluas.
Dengan itu, katanya, ia boleh diperkenalkan secara perlahan-lahan di Malaysia untuk kemudahan tertentu sepertimana yang terdapat di negara maju.
Dalam pada itu, katanya, rakyat Malaysia sendiri perlu berjimat dalam menggunakan tenaga walaupun ia masih mudah didapati sekarang.
Melalui langkah itu, kata Abdullah, ia turut menjimatkan belanja harian mereka dan memastikan pendapatan yang diterima mencukupi.
“Kalau tidak jimat, sampai bila pun pendapatan tidak cukup,” katanya.
Pada lawatannya ke Jepun kali ini juga, Perdana Menteri berkata, beliau sempat bertemu dengan beberapa pemimpin korporat negara ini yang terus memberikan komitmen untuk melabur di Malaysia.
Menurut Perdana Menteri, ini menunjukkan bahawa Malaysia masih lagi menjadi destinasi pilihan pelabur dari negara matahari terbit ini tetapi tumpuan kini lebih kepada industri berteknologi tinggi dan tidak lagi kepada yang berasaskan tenaga buruh.
Para pelabur terbabit juga, katanya, menunjukkan minat untuk melibatkan diri di Wilayah Pembangunan Iskandar dan mahukan lebih banyak maklumat mengenainya.
“Saya harap Khazanah (Khazanah Nasional) dapat datang untuk buat promosi supaya pelabur-pelabur Jepun tertarik untuk buat pelaburan di sana," katanya.
- Utusan

No comments: