Saturday, August 18, 2007

35 maut cuaca panas di AS

NASHVILLE, Amerika Syarikat (AS) 17 Ogos – Lebih 35 orang terkorban akibat gelombang panas yang melanda kawasan Midwest di pertengahan utara dan selatan di AS sejak 10 hari lalu.
Cuaca panas yang melampau itu turut memaksa para pegawai menutup salah satu daripada tiga buah reaktor nuklear di Alabama kerana air sungai yang digunakan untuk proses penyejukan didapati melebihi had purata 32.22 darjah Celsius bagi tempoh 24 jam lalu.
Pada keseluruhannya, 37 kematian disahkan berlaku dalam insiden-insiden yang berkaitan dengan cuaca panas yang melampau ini.
Gelombang panas turut disyaki sebagai punca 10 lagi kematian yang belum disahkan di negara ini, kata pihak berkuasa.
“Keadaan di sini tidak ubah seperti satu kejadian gempa bumi di mana tiada sebarang penawar atau penyelesaian ditemui untuk menanganinya,” kata Datuk Bandar Shelby, A.C. Wharton Jr. di sini.
Para pemeriksa perubatan di Tennessee mengesahkan lapan kematian akibat gelombang panas di daerah Memphis sahaja.
Suhu di negeri itu meningkat kepada 40.5 darjah Celsius semalam, yang tertinggi untuk hari ketujuh berturut-turut.
Jabatan Kesihatan Missouri mencatatkan sembilan kematian di negeri itu manakala lapan kematian disahkan di Illinois, empat di Arkansas, empat di Georgia, dua di Carolina Selatan, satu di Mississippi dan juga satu lagi kematian di satu lagi daerah lain di Tennessee.

No comments: