Friday, October 5, 2007

Teroka angkasa tuntutan kaji alam

KUALA LUMPUR 5 Okt. – Penerokaan angkasa lepas dilihat dalam konteks agama Islam sebagai memenuhi tuntutan manusia untuk mengkaji, meneroka dan menyelidik rahsia alam ciptaan tuhan secara sistematik.
Menurut teks khutbah Jumaat edaran Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) hari ini, penerokaan angkasa lepas disifatkan sebagai cabaran Pencipta (Allah s.w.t) kepada manusia untuk meneroka misteri alam dengan akal fikiran yang telah diberikan kepada setiap manusia.
“Yang pasti melalui penerokaan angkasa lepas sudah tentu ia memberi kebaikan kepada kehidupan manusia dalam pelbagai bidang. Contohnya melalui satelit kita mampu menentukan waktu solat dan arah kiblat dengan tepat, memudahkan kita menentukan permulaan awal Ramadan, Syawal dan sebagainya.
“Dan tidak ketinggalan dengan penerokaan ini juga, kita dapat membuat pengkajian tentang perubahan iklim dunia, contohnya melalui satelit gambar-gambar awan boleh diambil dan dapat mengetahui pergerakannya, kemungkinan berlakunya ribut taufan, banjir, tsunami dan sebagainya,” jelas teks khutbah bertajuk “Misi Angkasawan Negara Anugerah Allah Dalam Menjana Fardu Kifayah Ummah” yang dipetik Bernama.
Oleh itu, masyarakat Malaysia secara keseluruhan wajar menganggap perkembangan tersebut sebagai anugerah Tuhan yang perlu disyukuri kerana negara akan berada dalam senarai pendahulu dalam penerokaan angkasa lepas.
Teks khutbah Jumaat itu dibacakan di masjid seluruh negara sempena ekspedisi sulung angkasawan dari Malaysia ke angkasa lepas.
Calon yang bakal dipilih pada saat akhir di antara Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Kapten Dr Faiz Khaleed akan memulakan ekspedisi pada 10 Oktober ini dari tapak pelancaran di Baikonour, Kazakhstan antara pukul 9 hingga 9.30 malam waktu Malaysia.
Sementara itu, umat Islam di seluruh negara hari ini mengadakan solat hajat selepas sembahyang Jumaat bagi mendoakan kejayaan Misi Angkasawan Negara yang akan dilancarkan minggu depan.
– Bernama

No comments: