Sunday, October 28, 2007

Debu sulfur kurangkan pemanasan

COLORADO: Sekumpulan saintis Barat baru-baru ini mencadangkan satu kaedah kontroversi untuk mengatasi pemanasan global iaitu dengan menggunakan cara yang sama seperti letusan gunung berapi memuntahkan lahar dan abu panas ke udara. Bagaimanapun, ada saintis berpendapat menaburkan debu sulfur ke awan mungkin menyebabkan lebih banyak masalah berbanding kebaikan.
Kaedah penyelesaian sementara yang dicadangkan ialah menyembur debu sulfur jauh ke atmosfera, menghasilkan kesan seperti ketika gunung berapi meletus, apabila ia memuntahkan abu panas yang menghalang sinaran matahari. Lapisan sulfur ini membolehkan penghasilan gas rumah hijau dikurangkan untuk jangka masa tertentu. Bagaimanapun, penyelidik berpendapat walaupun debu sulfur akan mengurangkan kepanasan bumi, ia juga akan mengurangkan jumlah hujan dan menyebabkan kemarau serius.
"Ia hanyalah satu daripada beberapa kaedah drastik yang dicadangkan untuk mengurangkan pemanasan global dan tidak akan memberi kesan positif dalam jangka panjang. "Sekarang kebanyakan saintis bersetuju karbon dioksida yang dihasilkan daripada penggunaan bahan api fosil menjadi punca iklim dunia berubah," kata Kevin Trenberth dari Pusat Kebangsaan Bagi Penyelidikan Atmosfera (NCAR) di Boulder, Colorado. Trenberth bersama rakannya Aiguo Dai melakukan kajian jumlah hujan dan rekod aliran air di sungai terbesar dunia antara 1950 dan 2004. Ketika Gunung Pinatubo meletus suhu global menurun secara purata 0.5 darjah Celsius, pada tahun berikutnya. - Agensi.

No comments: